Seorang suami pernah meluahkan rasa hatinya kepada saya. Yakni tentang gangguan perasaan yang dialaminya. Dia diusik kenangan lama apabila bertemu dengan bekas kekasihnya semula. Entah kenapa perasaan cinta mereka seakan berputik kembali.
"Kami terlalu cinta. Malangnya kami tidak ada jodoh. Kami terpaksa berpisah dan kemudiannya menemui jodoh masing-masing."
Dia mengadu setelah hampir sepuluh tahun, tidak sangka hatinya masih berbunga cinta. Dan ajaibnya cinta, ia tidak mengenal usia. Sedangkan kini dia sudah punya dua orang anak dan bekas kekasihnya pun ada seorang anak. Masing-masing sudah punya keluarga.
"Apa masalahnya?" tanya saya seperti sukar memahaminya.
Dia kemudian mengakuinya bahawa bekas kekasihnya pun rupa-rupanya juga masih mencintainya.
Cinta bukan Tuhan, itulah jawapan pendek yang saya berikan padanya. Saya tegaskan tidak semua kehendak cinta mesti kita patuhi. Bila cinta melanggar batas-batas rasional, nilai-nilai kemanusiaan dan yang paling utama melanggar syariat, kehendaknya mesti dihentikan.
Saya ingatkan kepadanya, pertimbangkanlah bagaimana nasib isteri dan anak-anaknya nanti jika kehendak cinta yang "gila" itu dipenuhi. Pergi memburu cinta yang tidak pasti, lalu meninggalkan anak-anak dan isteri yang diamanahkan Allah... Berbaloikah?
Dan yang paling utama, bagaimana pula hukum Allah yang akan dilanggar jika hubungan terlarang (haram) itu diteruskan?
Mencinta isteri dan suami orang adalah haram. Curang itu khianat. Khianat itu adalah antara ciri kemunafikan.
Ya, cinta memang buta, tetapi orang yang bercinta (lebih-lebih lagi orang beriman) jangan pula sampai buta mata hati untuk mengawal dan mengendalikan rasa cinta. Demi cinta sanggup berdosa? Demi cinta sanggup menempah neraka? Fikir dan zikirkanlah (ingatkanlah)!
Malangnya, begitulah realitinya kini. Cinta dimartabatkan terlalu agung dan disanjung membumbung... Demi cinta segala-galanya berani diterjah dan sanggup diredah. Tidak percaya? Bacalah masalah-masalah masyarakat yang dipaparkan di dada akhbar atau majalah. Isteri jatuh cinta pada suami orang. Suami jatuh cinta kepada wanita lain dan rela meminggirkan isteri sendiri. Bila ditanya kenapa? Kebanyakannya menjawab, "apa boleh buat, kami sudah jatuh cinta!"..........
No comments:
Post a Comment